Tidakkah Kitab Suci orang Kristian meramalkan kedatangan
Nabi Muhammad?
Muhammad
mengajar bahawa kedatangannya telah dinyatakan oleh kitab-kitab yang lebih
awal. Dia mengharapkan orang Kristian dan Yahudi untuk menerimanya sebagai nabi
baru yang memenuhi kesemua ramalan yang ada dalam kitab-kitab suci mereka.
Apabila mereka menolaknya, Muhammad bertindak dengan berkata bahawa mereka
telah mengubah tulisan suci mereka.
Di antara orang-orang Yahudi ada pendengar-pendengar
perkataan bohong, pendengar-pendengar untuk kaum lain yang tidak datang kepada
engkau (ya Muhammad). Mereka telah mengubah perkataan dari pada tempatnya. (Surah Al-Maa-Idah 5:41)
Orang
Muslim biasanya mengungkapkan kata-kata Allah kepada Musa dalam Ulangan
18:18-19 sebagai ayat penyokong kepada soalan yang sedang kita bahaskan:
Aku akan mengutus seorang nabi kepada mereka, nabi seperti
engkau, dan yang daripada bangsa mereka sendiri. Aku akan menyampaikan
firman-Ku kepadanya, dan dia akan menyampaikan segala perintah-Ku kepada umat
itu.
Orang
Islam percaya bahawa "nabi" yang disebutkan dalam petikan di atas
ialah Muhammad. Ahli-ahli tafsir Islam merujuk kepada ayat berikut sebagai ayat
penyokong:
Seorang saksi dari Bani Israil, telah mengakui (kebenaran)
yang seumpamanya.
(Surah Al-Ahqaaf 46:10)
Ulangan
18:18-19 telah diberi oleh Allah kepada Musa dalam Taurat dan menurut Injil,
janji ini telah dipenuhi dengan kedatangan Isa Al-Masih enam ratus tahun
sebelum Al-Quran ditulis. Ini disahkan dalam Kisah Para Rasul 3:18-23 yang
berkata:
Dahulu kala melalui semua nabi, Allah memberitahu bahawa
Penyelamat yang diutus-Nya harus menderita. Demikianlah perkara itu berlaku
seperti yang dikehendaki-Nya. . . Tuhan akan menyuruh Isa Al-Masih datang
kepada saudara-saudara, kerana dia sudah ditetapkan oleh Tuhan menjadi
Penyelamat saudara-saudara. Dia harus tinggal di syurga sehingga tiba masanya
bagi Allah menjadikan semuanya baru, seperti yang difirmankan oleh Allah
melalui nabi-nabi-Nya yang suci pada zaman dahulu. Musa pernah berkata, ‘Tuhan,
Allah kamu akan mengutus seorang nabi kepada kamu seperti Dia mengutus aku.
Nabi itu akan datang daripada bangsa kamu sendiri. Kamu harus mendengar semua
yang dikatakannya. Sesiapa yang tidak mahu mentaati kata-kata nabi itu, akan
disingkirkan daripada umat Allah dan dibinasakan.’
Stefanus
mengulangi janji ini dalam khutbahnya sebelum dia mati syahid (Kisah Para Rasul
7:37).Jadi, rasul Petrus dan Stefanus mengakui bahawa Ulangan 18:18-19 merujuk
secara khusus kepada Isa Al-Masih, seorang berbangsa Yahudi, "yang
daripada bangsa mereka sendiri". Mustahil ayat ini merujuk kepada
Muhammad kerana dia seorang berbangsa Arab dari keturunan Ismail.
Di
dalam Injil, ada beberapa ayat di mana orang Yahudi memanggil Isa Al-Masih
"Nabi"
- Apabila Isa masuk ke Yerusalem, seluruh kota menjadi gempar. Orang bertanya, "Siapakah dia?" "Dia Isa, nabi dari Nasaret di Galilea," jawab orang ramai yang mengiringi Isa Al-Masih. (Matius 21:11)
- "Perkara-perkara yang berlaku kepada Isa, orang Nasaret itu," jawab mereka. "Dia seorang nabi. Di sisi Allah dan pada pandangan semua orang." (Lukas 24:19)
- Apabila orang ramai melihat mukjizat yang dilakukan oleh Isa Al-Masih, mereka berkata, "Sesungguhnya dia Nabi yang diharapkan datang ke dunia!" (Yahya 6:14)
Akhir
kata, kenabian seseorang tidak hanya bergantung hanya kepada ramalan-ramalan
tentang nabi itu tetapi atas sifat dan perbuatannya. Melalui
perbuatan-perbuatannya yang ajaib, pengikut-pengikut Isa Al-Masih dapat lihat
bahawa dia adalah nabi yang telah dinyatakan dalam Kitab Suci.
Bukankah perkataan Yunani "Paracletos" dalam Injil
satu rujukan kepada Muhammad?
Di
dalam petikan-petikan berikut, Isa Al-Masih berjanji untuk menghantar seorang
Penghibur. Orang Muslim mengambil janji-janji ini sebagai ramalan Isa Al-Masih
tentang kedatangan Muhammad.
Aku akan mohon kepada Bapa dan Bapa akan memberi Penolong
lain, yang akan bersama-sama kamu selama-lamanya. (Yahya 14:16)
Aku akan mengutus Penolong yang berasal daripada Bapa kepada
kamu. Dia Roh yang akan menunjukkan apa yang benar tentang Allah. Apabila dia
datang, dia akan memberi kesaksian tentang aku. (Yahya 15:26)
Tetapi apa yang aku katakan kepada kamu benar: Untuk
kebaikan kamu, lebih baik aku pergi. Jika aku tidak pergi, Penolong itu tidak
akan datang kepada kamu. Tetapi jika aku pergi, aku akan mengutus dia kepada
kamu. (Yahya
16:7)
Kesimpulan
ini dibuat ialah kerana pakar-pakar agama Islam mengajar bahawa perkataan
Yunani paracletos (yang diterjemahkan Penolong) sebenarnya satu
pengubahsuaian perkataan Yunani periclytos. Paracletos bermaksud
seorang pembela, pembantu atau penghibur atau secara literal "orang yang
dipanggil ke sisi untuk menolong." Menurut pakar-pakar agama Islam,
perkataan periclytos yang apabila diterjemahkan ke dalam bahasa Arab
boleh diterjemahkan sebagai Ahmad, yang bermaksud "Dia yang terpuji",
iaitu nama untuk nabi Muhammad. Walaupun begitu, kalau senarai kata-kata Yunani
diperiksa, kita akan dapati bahawa perkataan periclytos tidak pernah wujud
dalam bahasa Yunani Perjanjian Baru! Perkataan ini sebenarnya satu pengubahsuaian
perkataan Yunani kleos yang bermaksud "mulia" atau
"puji".
Jika
kita membaca konteks Yahya 14:16, dengan cepat kita akan melihat bahawa
Penolong yang disebut di sini ialah "Roh kebenaran" (ayat 17) atau
"Roh Kudus (ayat 26). Hal ini sama untuk Yahya 15:26 dan 16:7 apabila
dibaca dalam konteksnya. Roh Kebenaran ini bukan satu manusia tetapi Roh yang
dikirimkan oleh Isa Al-Masih melalui Allah setelah dia bangkit dari kematian.
Seperti yang tertulis tentang Roh ini: Dia akan diam bersama kamu dan akan
berada di dalam kamu (Yahya 14:17).
Orang
Muslim percaya bahawa "paracletos" itu merujuk kepada Muhammad kerana
tafsiran ayat berikut dari Al-Quran:
Ingatlah, ketika Isa anak Maryam berkata: hai Bani Israil,
sesungguhnya aku rasul Allah kepadamu, serta membenarkan apa yang sebelumku,
iaitu Taurat dan memberi khabar gembira dengan seorang rasul, yang akan datang
kemudianku, namanya Ahmad (Muhammad). (Surah Ash-Shaf 61:6)
Petikan
ini mengesahkan bahawa Isa Al-Masih ialah rasul kepada bani Israil yang
mengesahkan Taurat Musa. Ini secara tidak langsung juga mengesahkan Isa
Al-Masih sebagai nabi yang dijanjikan dalam Ulangan 18:18-19.
"Rasul",
yang bermaksud "dia yang diutus" dalam surah ini, menurut Injil Yahya
bab 14 hingga 16, ialah Roh Allah dan bukan manusia bernama Muhammad. Yusuf Ali
dalam huraiannya akan surah ini mengaku bahawa perkataan Yunani asal dalam
Injil Yahya itu mungkin sekali "paracletos" dan bukan
"periclytos". Pandangan seorang pakar agama seperti Yusuf Ali
menampilkan kelemahan teori periclytos yang diheboh-hebohkan selama ini.
Satu
daripada kelemahan Islam ialah ketidakupayaannya menerima penyataan Allah dalam
Roh Kudus. Allah dalam Islam hanya boleh menyatakan dirinya melalui orang
tengah, sama ada malaikat atau nabi dan rasul. Kebanyakan pakar agama Islam
mengajar bahawa Roh Kudus adalah malaikat Jibrail. Dalam kes
"paracletos" mereka telah berusaha melarikan diri dari konteks asal
dengan tujuan menjadikan ayat-ayat ini satu ramalan tentang kedatangan
Muhammad. Apa yang dijanjikan dan dinubuatkan oleh hazrat Isa Al-Masih
sebenarnya sesuatu yang jauh lebih mulia, iaitu kedatangan Roh Allah Sendiri
yang suci dan murni.